Pemakanan sihat & seimbang serta teknologi rawatan terbaharu beri peluang pesakit pelihara penglihatan
Kata Dr Premadeva, gejala katarak boleh disedari seawal individu menyedari kualiti penglihatan mereka semakin merosot. “Tanda-tanda awal katarak termasuk penglihatan menjadi kabur walaupun selepas memakai cermin mata. “Warna objek kelihatan pudar dan kurang terang. Cahaya atau lampu kelihatan bersilau atau seolah-olah pecah. “Sesetengah individu juga mengalami kesukaran melihat pada sebelah malam dan penglihatan berganda dalam satu mata turut boleh berlaku. “Selain itu, perubahan terhadap preskripsi cermin mata berlaku dengan kerap.”
Kebanyakan punca membabitkan katarak di awal usia ialah daripada komplikasi penyakit seperti diabetes yang boleh mempercepat proses pembentukan katarak atau pemeriksaan mata di kedai cermin mata tidak dapat menghasilkan imej yang jelas,” katanya.
Semua itu disebabkan pengaburan semula jadi pada kanta mata yang terletak di belakang iris dan anak mata.
Beliau menyarankan langkah pencegahan seperti pemeriksaan dan rawatan awal penting bagi memastikan masalah katarak boleh diurus dengan baik.
Jangan mengambil dasar ‘tunggu’ sehingga penglihatan terjejas atau hilang, baru bertindak untuk mendapat rawatan.
“Oleh itu, penting untuk pesakit diabetes menjalani pemeriksaan mata sekurang-kurangnya sekali setahun.
“Langkah penjagaan mata seperti mengenakan cermin mata keselamatan ketika bersukan, bekerja dan menggunakan cermin mata sesuai ketika berada di bawah cahaya matahari terik (bagi mengurangkan pendedahan kepada sinaran ultra ungu (UV)) sangat penting.
“Selain itu, pemakanan sihat dan seimbang bagi menyokong kesihatan mata secara keseluruhan juga turut membantu dalam mencegah katarak.
“Walaupun tiada lagi bukti perubatan berasaskan kajian (evidence-based medicine) dapat menghalang sepenuhnya kejadian katarak namun gaya hidup yang sihat dapat membantu melambatkan proses pembentukan katarak.” katanya.
Pengambilan sayur-sayuran berdaun hijau seperti bayam, salad, dan sawi serta buah-buahan seperti betik dan mangga yang kaya dengan vitamin A, C dan E. serta Lutein dan Xanthophyll dapat membantu dalam menjaga kesihatan penglihatan.
Pakar itu turut berkongsi rawatan terkini dalam menangani katarak bertambah baik.
“Pada masa kini, ada pelbagai jenis kanta intraokular (IOL) yang digunakan dalam pembedahan katarak.
“Antaranya kanta monofokal, yang membetulkan penglihatan jarak jauh, tetapi memerlukan cermin mata untuk melihat objek dalam jarak dekat seperti ketika membaca.
“Manakala kanta multifokal pula membolehkan penglihatan jauh dan dekat tanpa bergantung kepada cermin mata.” katanya.
Namun pemilihan jenis kanta harus dibincangkan bersama pakar mata yang menjalankan pembedahan katarak terbabit.
